Saturday, 10 March 2012

[SPECIAL EDITION] Katarsis Untuk Kita Homs (Hims): by QueAe


Kehadapan adindaku Amani,
moga sentiasa sejahtera dalam lindungan-Nya.
Maafkan aku.  Seingatku, kali terakhir aku menulis untukmu adalah pada Ramadan lalu, namun aku khuatir kalamku tidak kauterima. Semalam aku menelefon si becok Suffiah menanyakan keadaan di kotamu. Katanya Homs bukan lagi kota indah yang kududuki dulu. Bangunan yang dulu berdiri megah kini telah bertukar menjadi puing-puing runtuhan.  Ah,  basah kelopak mataku dinda mengenang masjid Khalid al-Walid tempat kita bertalaqqi dengan Syeikh Hussein dulu. Suffiah mengisahkan kepadaku bagaimana ukht Zainab Al-Husni ditangkap, diperkosa pasukan keselamatan. Zainab melawan lalu dikerat tubuhnya jadi empat. Allahu Akbar. Moga-moga Allah tidak jemu jadi pelindung kota Khalid al-Walid. Benar, aku dapat membayangkan rona-rona senja yang kita saksikan bersama ternyata telah bertukar menjadi merah , semerah darah mereka yang menjadi korban sepanjang tempoh Saurah. Aneh sekali kerana hanyir darah itu dapat kucium di bumi ini.
Amani, semalam aku bersiar-siar di kota Kuala Lumpur kebanggaan negara. Disana sini aku melihat tangan gatal mencoret graffiti di kaki lima. Aku lantas teringat 28 orang adik-adikmu yang mencoret canda di dinding sekolah,  “RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN” . Ya, aku masih ingat benar permulaan revolusi ini. Dan sesudah itu,  anak-anak mentah ditangkap pasukan keselamatan. Mereka telah diseksa dengan cara mencabut kuku-kuku kaki dan tangan mereka. Aku mendengar khabar hiba, salah seorang kanak-kanak itu telah meninggal dunia dan keluarganya memohon pengembalian kesemua mereka. Kerajaan telah meletakkan syarat sebagai galang ganti mereka perlu menghadiahkan wanita dikalangan untuk dinikahi oleh puak-puak kerajaan Syria. Adindaku Amani, aku tidak punya kuasa malahan jasadku juga tidak berada disitu untuk mengeluarkan sepatah kata. Tetapi kalamku ini, kalam katarsis untuk Kota Homs kuharap mampu berbicara kepada semua pencintanya.
Tahukah dinda? Revolusi sebegini rupa leluhurku dari Johor telah coretkan terlebih dulu dalam garis sejarah. 1699 masihi rakyat bangkit menentang kezaliman  Marhum Mahmud Mangkat Dijulang. Bukan kita gerakkan revolusi materi seperti di Perancis, tetapi kita gigih menentang penindasan spiritual dan penyelewengan agama. Syukur, rakyat punya kekuatan untuk bangkit meski semangat itu umpama api dalam sekam semata-mata. Seperti yang anak-anak kecil itu lakukan, siapa tahu leluhur mereka menjadi korban tragedi 1948 di Hama? Jangan kau perkecilkan kuasa darah yang mengalir dalam jasad.  Andai Bashar Assad mewarisi kejam perangai ayahnya Hafez yang gila membunuh Sunni mengapa tidak anak-anak kecil itu mewarisi semangat juang leluhurnya? Maafkan aku. Sungguh aku berasa malu muslim berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Inilah padah terpaksa kita terima dek fitnah Khawarij memisahkan kita jadi Syiah dan Sunni, sehingga si keliru Assad jadi pelampau Syiah yang berdendam entah apa kepada kita.
Adapun dinda, disini titik pengakuanku kepadamu. Juga kepada Kota Homs. Sampai saat ini aku akui baru aku melopong mendengarBashar Assad adalah anggota kelompok Syiah Nusairi yang terkeluar daripada Islam dan mengharuskan untuk membunuh Muslim Sunni. Khabarnya 84% daripada posisi kepimpinan Rejim Bashar Assad dipegang oleh kaum keluarga mereka yang terdiri daripada tiga keluarga besar, 6% daripada posisi tersebut daripada orang ‘ajam dan 10% lagi daripada golongan Kuffar. Tiada posisi bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kukira kezalimannya terhadap wanita dan kanak-kanak juga terlalu dahsyat melebihi Israel. Maafkan aku dinda. Selama ini aku hanya mengagumi  tugu Salahuddin di Damascus tanpa melihat kesinambungan perjuangannya. Betapa perit menjadi pejuang di bumi anbiya’. Maafkan aku kerana buta dan tidak sedar dikaburi media barat.  Amani, kalam ini juga menjadi suara katarsisku, bermalam-malam aku gagal melelapkan mata kerana sabda Nabi memenuhi gegendang telinga ; “Barangsiapa yang tidak mengambil tahu hal orang Islam yang lain, maka bukan dari kalangan KAMI”

Dinda, kiranya citra ini hukuman buat kealpaanku, aku mohon agar Allah mengampuni dosa kami yang diam. Kami yang diam selama enggang mengeram dan tidak menoleh melihat penderitaanmu. Kami yang 24 jam duduk bersenang lenang menolak ketepi masalah ummah dengan alasan maslahah sendiri. Dan aku hanya diriku yang tersengguk-sengguk berdoa namun dengan izin-Nya, aku tegak diam di satu tempat, “Ya Allah, sesungguhnya kami letakkan Engkau dibatang leher musuh-musuh kami! Dan kami berlindung kepada-Mu daripada kejahatan mereka. Ya Allah hancur leburkanlah kumpulan mereka, kacau bilaukan persatuan mereka! Cerai-beraikanlah pakatan mereka, goncangkanlah pendirian mereka, hantarkan kepada mereka anjing-anjing-Mu! Ya Qahhar, Ya Jabbar, Ya Muntaqim, Ya Allah..  yang menurunkan kitab, yang menggerakkan awan, yang menewaskan bala tentera Ahzab, kalahkan mereka, menangkan kami keatas mereka..”
Amani, aku yakin sehingga ke hari ini kau tidak mengenaliku. Namun aku yakin kau mengenalku lewat bacaan doamu. Aku selalu mendengar kau menyebut namaku sebagai ikhwan agar membantumu. Sebagai kalam katarsisku, ini sebuah pengakuan. Kau tahu siapa aku?
Aku….
adalah pemilik nama..
pemakai gelar..
pemegang kuasa..
aku adalah saudara yang meniti dibibirmu..
aku sewajarnya adalah pemegang panji-panji jihad
yang kini tertunduk malu,
kerana bukan aku yang selayaknya
membawa kitabullah & sunnah nabi-Nya..
Aku hanya menumpang disatu sudut dunia kepunyaan al-Faliq,
Aku antara salah satu yang terpilih
untuk hidup…untuk menjadi hamba
dengan rasa rendah diri yang kudus..
terkadang mengharap agar tidak berjalan diatas bumi-Nya
hanya untuk mengundang amarah dan murka-Nya
Akukah, khalifah yang tewas itu?

Adinda, aku yakin sedikit masa lagi kota Homs bakal bangkit gah kembali.  Liga Arab telah mengambil perhatian tentang suluk Syria terhadap rakyatnya. Mereka tidak membenarkan pegawai-pegawai Syria memasuki tanah mereka. Malangnya masih ada dua negara yang tidak berpendirian sedemikian iaitu Iraq dan Lubnan. Kau tahu bukan pakatan Syiah mereka? Huh, jangan khuatir mahupun bimbang, Lebih 30000 tentera yang terdiri dari pegawai telah memihak kepada rakyat. Mereka ini tidak tahan melihat kekejaman rejim Bashar Assad yang sesuka hati membunuh rakyat. Syukur, akhirnya jundullah muncul juga. Adinda Amani, aku harap kau bertahan sebentar. Aku akan datang menemuimu sebagai akhawat. Kau harus bertahan sebagaimana aku  meyakini Homs akan bertahan menunggu ketibaanku…
—————————–
Karya ini ditulis oleh:
QueAe

2 comments:

Faza said...

bagus utk dibace derrr.. tq! :)

h'zulproperty said...

u're most welcome Faza.. =D

aNDa KLiK aNDa HeBaT!!!